Teringat satu petang, aku sedang duduk berdua dengan emak di luar rumah waktu Cik Jun datang tersenyum-senyum dengan berbaju kurung.
Cik Jun ini jiran depan rumah aku. Katanya baru pulang dari beraya di rumah sahabatnya.
Bukan main cantik lagi Cik Jun dengan baju kurung berwarna kuning-oren bunga-bunga dipadankan dengan tudung
instant bercorak harimau bintang.
Sedang sibuk dia berborak dengan emak, Pakcik Ipin, jiran sebelah rumahku baru sampai dari mana entah dengan motor. Turun sahaja dari motor, terus sahaja dia menegur.
"Amboi, cantiknya Cik Jun. Untung Rafi (baca: suami Cik Jun) dapat Cik Jun."
Maka Cik Jun pun tersipu2 sambil menceritakan asal-usul baju dan perbualan tersebut bersambung panjang lagi.Kalau cerita semua, sampai esok pun tak habis.
Ditambah dengan krisis dalaman yang sejak akhir-akhir ini menghantui aku, aku tertarik dengan ayat Pakcik Ipin itu yang kalau dalam dunia kita anak muda remaja ini, bunyinya akan jadi lebih kurang begini.
"Amboi, cantiknya. Untung siapa dapat engkau!"
Berulang-ulang otak aku memainkan ayat yang sama.
"Amboi, cantiknya. Untung siapa dapat engkau!"
Hmm.Kalau difikirkan sekali lalu. Ia adalah satu pujian. Mungkin.
Habis tu kalau tidak cantik, kalau tidak lawa? Rugilah siapa yang 'dapat' kita? Musykil.
"Untung siapa dapat engkau!"
'Dapat'
Manusia ini setahu aku bukan benda.
Aku yakin aku bukan benda, kau bukan benda, kita semua bukan benda.
Keluarga, sahabat, kekasih.
Kalau kita anggap mereka semua ini sebahagian daripada kita, mesti kita tak kisah pada rupa-parasnya, kekurangannya, salah-silapnya. Malah, sibuk-sibuk kita betulkan, cantikkan, perbaiki mana celanya, tutup mana buruknya. Kita selami hati budinya. Terima apa adanya.
Tapi, kita anggap mereka ini benda.
"Untung siapa dapat engkau"
Bila kekasih dianggap benda, kita mahu yang sempurna. Supaya kita juga turut nampak cantik bila bersama mereka. Bila begini, kita letakkan
'expectation' yang tinggi. Hingga silap sedikit pun kita rasa terlalu besar.
Padahal mereka juga manusia biasa.
"Oh, takdelah perfect sangat dia ni."
"Kau dah cukup sempurna?"
*sengih*
Dunia ni terlalu rumit. Kita mahukan kesempurnaan sedangkan kita belum cukup sempurna. Kita rasa tidak adil bila orang mahu diri kita jadi sempurna, sedangkan kita sendiri pandang tinggi pada kesempurnaan. Hmm. Kita sendiri sebenarnya tidak adil. Bagaimana pula kau mahukan keadilan?
"Untung siapa dapat engkau"
Si Tak-Berapa-Cantik dan Sang Tak-Berapa-Kacak tenggelam dalam krisis personaliti. Terlalu berusaha untuk menjadi cantik dan kacak. Tak habis-habis merendahkan diri sendiri kerana terlalu yakin diri itu tidak cantik. Tak adil rasanya.
*****************************************************
"Aku tidak cantik, jadi siapa mahu aku?"
"Kau bukan benda dan dunia ini bukan shopping complex"
"Aku juga mahu kekasih aku rasa beruntung 'dapat' aku!"
"Jadi kau juga hanya mahu kekasih yang buat kau rasa beruntung sahaja? Kejamnya."
"Kenapa aku tidak cantik?"
"Kerana kau bukan benda"
"Kau hanya perlu cantik di dalam untuk menjadi yang terbaik"
*********************************************************
InsyaAllah. Aku cuba.